Thursday 12 February 2009

PPSMI Elok Dibatalkan Segera

Pelaksanaan PPSMI dengan jelas mencabul Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, juga pelaksanaan PPSMI bercanggah dengan Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Laporan Barnes, Laporan Fenn-Wu, Laporan Jawatankuasa Penasihat Pusat Tentang Pendidikan, Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.
Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia) telah memberikan tempoh sehingga 31 Disember 2008 untuk Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membatalkan PPSMI namun sehingga kini tiada tindakan KPM yang menuju ke arah itu. Gapena akan membuat laporan polis mengenai ini pada 15 Februari 2009.
Tun Dr Mahathir Mohamed, Mantan Perdana Menteri dalam Wacana Dilema Melayu mengakui bahawa dasar yang beliau kemukakan pada tahun 2003 itu merupakan satu kesilapan dalam pentadbirannya kerana pelaksanaannya tidak mampu meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris di Malaysia.
Ramai pejuang Bahasa Melayu telah menyatakan kekesalan mereka mengenai pelaksanaan ini namun pihak berkuasa tidak mengendahkan perkara ini. Pejuang-pejuang Bahasa Melayu seperti Profesor Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Profesor Abu Bakar Hamid, Datu Zainal Abidin Abdul Wahid dan Professor Dr Shahril Mohamad Zain merupakan tokoh yang menguasai kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris walaupun sebelum dasar PPSMI dilaksanakan.
Fakta-fakta di atas saya turunkan semula daripada Berita Harian, 12 Februari 2009,mukasurat 19 – 20.
Berikut, saya selaku Presiden Persatuan Alumni Perguruan Tinggi Indonesia (PAPTI) akan menghuraikan pandangan kami yang pernah belajar di Indonesia bagi memenuhi kehendak-kehendak Akta-Akta dan dasar-dasar di atas bagi mengukuhkan penggunaan Bahasa Melayu di Nusantara.
Mulai tahun 1968 ramai pelajar Malaysia jurusan Sains, Matematik dan Kejuruteraan di hantar untuk menyambung pembelajaran di Institusi Pendidikan Tinggi di Indonesia atas biasiswa KPM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya. Sebelum tahun 1968 telah ramai pelajar-pelajar dari Malaysia yang telah belajar di Indonesia terutamanya dalam bidang sosial, bahasa dan pendidikan atas biaya sendiri.
Tokoh-tokoh besar seperti Dato Mohamad Rahmat, Mantan Menteri Penerangan Malaysia, Dato Dr Sulaiman Mohammad, Mantan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Tan Sri Aishah Ghani, Dato Mohd Noor Azam, Profesor Abu Bakar Hamid dan lain-lain sebagainya merupakan produk perguruan tinggi di Indonesia. Malah sebelum tahun 1968 lagi ramai guru-guru Sains dan Matematik dari Indonesia datang mengajar di sekolah-sekolah menengah dan universiti demi untuk melaksanakan dasar Bahasa Melayu di Malaysia.
Tokoh-tokoh besar dalam bidang sains juga bermunculan sejak 1980 selepas pelajar Malaysia pulang dari Indonesia dan berperanan di Institusi Perguruan Tinggi di Malaysia. Nama-nama seperti Tan Sri Profesor Dato Dr Mohd Salleh Yassin, Mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Dato Dr Mohd Noh Dalimin, Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membibir di kalangan rakyat Malaysia. Ramai lagi pelajar-pelajar Malaysia yang pulang ke tanah air menjawat jawatan-jawatan penting dalam bidang Sains, Matematik dan Kejuruteraan dan peranan mereka sangat besar dalam memajukan pembangunan Malaysia. Kehadiran mereka di merata-rata tempat dan berjaya, telah terbukti melalui pendidikan yang beraliran Bahasa Melayu (Bahasa Indonesia) telah dapat membangun Malaysia dan mereka juga boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.
Hasrat memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa akademik yang telah bermula dengan baik telah digerhanakan pada tahun 2003 melalui dasar Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewajibkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik bermula dari sekolah rendah.
Walau pun disebut hanya untuk mata pelajaran sains dan matematik bermula dari sekolah rendah, namun pelaksanaannya telah merebak secara tiba-tiba dari sekolah rendah hingga ke universiti. Kami menganggapnya sebagai “lebih sudu dari kuah” kerana para pelaksana dasar itu telah melanggari prinsip pelaksanaan bermula dari sekolah rendah dan dalam mata pelajaran sains dan matematik saja.
Ternyata dasar PPSMI tidak membuahkan hasil yang diinginkan dan kami sebagai pendukung penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua peranca akademik menyeru pihak berkuasa untuk kembali kepada dasar asal iaitu melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di segenap sudut sehingga di Nusantara, Bahasa Melayu mendapat tempat yang sewajarnya.

Prof Madya Dr Ismail Abdullah
Presiden PAPTI
13 Februati 2009

2 comments:

ajamz said...

siapa lagi akan memertabatkan bahasa kita selain dari bangsa kita..


salam prof bila nak lawan chess dengan orang unimap

regards
azam

kuIna said...

salam Prof...
pls visit blog nie..
http://meniti-hari.blogspot.com/2009/03/kisah-di-sebalik-ppsmi.html

sedikit info utk dikongsi