Lawatan sambil belajar kami ke Hanoi pada 20 hingga 24 Oktober 2003, telah meninggalkan kesan yang mendalam tentang bagaimana cara meningkatkan penguasaan matematik di kalangan pelajar. Lawatan yang ditaja oleh Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) telah disertai oleh Prof Dato’ Dr Kamel Ariffin Mohd Atan (Pengarah INSPEM), Prof Dr Abdul Halim Shaari (Timbalan Pengarah), Prof Madya Dr Mohamad Rushdan Mohd Said (Ketua Laboratori Matematik Tulen) dan Prof Madya Dr Ismail Abdullah (Ketua Laboratori Sains Bermatematik).
Mengetahui betapa pentingnya matematik dikuasai oleh rakyatnya, pemerintah Vietnam telah mengambil langkah yang tepat dengan mencari dan menggilap bakat-bakat terpendam di kalangan pelajar-pelajarnya dengan mengadakan Ujian Pengesanan Bakat Matematik bermula dari peringkat daerah.
Pelajar-pelajar cemerlang ini menjadi harta negara yang perlu diberi perhatian dan digilap menjadi berlian yang akan menyinar di masa hadapan. Semua yang terpilih akan dipusatkan di Hanoi dan diberikan pendidikan lanjutan dalam matematik di samping mata pelajaran yang lain.
Hasil daripada usaha ini Vietnam berada dalam tahap sepuluh negara utama dalam pertandingan Olimpiad Matematik. Satu pencapaian yang sangat membanggakan bagi sebuah negara yang dianggap mundur namun pemerintahnya mempunyai komitmen yang tinggi untuk meningkatkan penguasaan rakyatnya dalam matematik dan sains secara berterusan dan komited.
Pemerintah Vietnam telah menubuhkan sebuah Institut Matematik pada tahun 1970, khas bagi menanggani isu-isu mengenai matematik dari peringkat rendah hingga ke peringkat universiti. Kerjasama dari berbagai peringkat diadakan bagi memajukan matematik dan sains. Di Institut Matematik yang kami lawati terdapat sebuah Pusat Sumber (resource centre) yang cukup lengkap dengan jurnal matematik dari seluruh dunia. Cara mereka mendapat jurnal ialah dengan saling bertukar jurnal dengan pusat-pusat matematik di seluruh dunia. Perkembangan mereka dari masa ke semasa boleh dilihat melalui laman web http://www.math.ac.vn/ yang juga memuat perpustakaan digital.
Kami juga telah melawat Institut Teknologi Maklumat yang berada bersebelahan dengan Institut Matematik yang mendapat biaya USD300,000 setahun daripada pemerintah. Terdapat lebih daripada 160 orang penyelidik yang menekuni berbagai bidang dalam teknologi maklumat. Perkembangan terkini Institut Teknologi Maklumat Vietnam boleh dipantau melalui laman web http://www.ioit.ncst.ac.vn/. Mereka mencipta berbagai perisian untuk kegunaan masyarakat Vietnam.
Pembangunan sumber daya manusia yang berketerampilan sangat penting bagi survival sebuah bangsa dan negara, perancangan yang konsisten dan komited perlu dilakukan bukan sekadar retorik semata-mata namun hendaklah dijelmakan dalam tindakan nyata. Telah nampak usaha ini dilakukan dahulu namun bila ada tangan-tangan jahil yang merobek usaha ini, maka nampak gerhana cita-cita yang mendambakan sebuah bangsa dan negara yang luhur.
Semoga Allah mengembalikan yang hak kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan kita sangat mengharap agar negara dan bangsa kita mendapat hak pemberian Allah itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment