Wednesday, 15 August 2012

Beberapa Pentafsiran yang Mungkin bagi Ayat 37 Surah Al-Anfal

Prof Dr Maman Djauhari Abdul Rahman memang seorang profesor yang tidak asing di kalangan ahli statistik dunia. Secara ringkas kami sering memanggil beliau dengan nama Prof Maman saja. Profesor kelahiran Garut, Jawa Barat ini memperolehi Sarjana Matematik pada tahun 1974 dari Institut Teknologi Bandung (ITB), mendapat PhD dalam Statistik dari Montpellier Universiti II, Perancis pada tahun 1979. Beliau mendapat gelaran professor pada tahun 1999 dari ITB, pernah berkhidmat sebagai professor di Institut Kejuruteraan Matematik (IMK) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada tahun 2008 dan kini bertugas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai professor untuk tahun 2009 hingga kini. Hingga kini beliau telah menerbitkan lebih daripada 60 artikel jurnal dalam jurnal antarabangsa.

Pada 15 Ogos 2012, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjemput beliau memberikan ceramah bertajuk di atas dalam Program Wacana Fakulti. Tajuk di atas beliau tulis dalam Bahasa Inggeris bertajuk “Some Possible Mathematical Interpretations of Surah Al-Anfal Verse 37”. Ramai yang berkesempatan menghadirinya dan sangat tertarik dengan gagasan Prof Maman. Beliau mengambil panduan daripada Al-Qur’an yang beliau nyatakan sebagai rujukan yang tidak mungkin salah dan tidak mungkin berubah. Rujukan kepada buku teks ada kemungkinan besar salah dan tidak terkini.

Supaya Allah memisahkan yang buruk dari yang baik dan menjadikan yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu kesemuanya itu ditumpukkan-Nya dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka jahannam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Anfal, 37).

Pokok utama yang menjadi kajian beliau dari ayat di atas ialah ”... Allah memisahkan yang buruk dari yang baik...”. Konsep memisahkan yang buruk dari yang baik merupakan suatu konsep yang sangat penting dalam pengumpulan dan penganalisaan data. Di sini kita dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk secara jelas. Ayat di atas hanya memberikan suatu pernyataan umum dan terserahlah kepada kita untuk mengkaji lebih lanjut mengenai cara memisahkan yang baik dari yang buruk.

Beliau memberikan contoh orang tua-tua kita memisahkan beras dengan antah menggunakan nyiru dengan mengaplikasikan konsep daya sentrifugal sehingga proses ayakkan itu akan menghimpunkan antah ke tengah nyiru dan mudah untuk dibuang. Juga menggunakan air dalam bekas air untuk memisahkan kacang yang baik dengan kacang yang buruk, kacang baik akan tenggelam dan kacang buruk akan terapung dan kacang buruk boleh dibuang. Macam-macam lagi cara memisahkan (separate) yang baik dari yang buruk.

Oleh kerana beliau seorang ahli matematik, maka apa yang beliau kaji ialah berkaitan matematik, tetapi ilmu-ilmu lain pun boleh digali dari Al-Qur’an. Beliau memberikan beberapa alasan yang kuat kenapa matematik sangat penting dalam kehidupan kerana kata beliau matematik ialah suatu bahasa yang sangat efektif dan efisien dalam berkomunikasi dengan alam. Galileo, seorang pemikir sains menyatakan bahwa alam jagat raya ditulis dalam bahasa matematik. Libnitz, seorang ahli matematik hebat mengatakan bahwa terdapat tiga perkara penting dalam matematik iaitu masalah (problem), teorem dan aplikasi. Libnitz juga mengatakan bahwa teorem juga membezakan antara ahli matematik dengan bukan ahli matematik.

Prof Maman juga mempunyai moto peribadi iaitu ”inspiring creative and innovative mind” yang akan saya kupas dalam blog lain terutama dalam blog mengenai TRIZ suatu inovasi sistematik dan penyelesaian masalah. Sudah sampai masanya ummat Islam menyedarkan diri mereka betapa khazanah yang sangat berharga berada dalam Al-Qur’an yang belum digali terutama perkara-perkara mengenai alam yang ada sekitar kita dan alam yang maha luas. Apabila timbul kesedaran maka kita akan membuat kajian yang mendalam sehingga tamadun Islam yang sudah lama terlepas dari tangan ummat Islam akan kembali semula kepada kita. Usaha ini perlu dilakukan secara bersungguh dan secara berjamaah. Beliau mempunyai sebuah Pesantren di Garut yang menumpukan kepada melahirkan generasi kreatif dan inovatif.

Prof Maman selanjutnya menerangkan bagaimana beliau melakukan proses pemisahan data dengan mengambil iktibar daripada alam sekeliling ialah melalui konsep penyusunan data (data ordering) iaitu kaedah tengah ke luar atau luar ke tengah seperti yang terjadi pada contoh ayakkan beras yang menggunakan teori daya sentrifugal bagi menghimpunkan antah padi ke tengah dan membuang antah itu dengan mudah. Beliau mengemukakan konsep jarak (distance) atau metrik bagi menyatakan cara memisahkan yang baik dari yang buruk seperti contoh memisahkan kacang yang baik daripada sekumpulan kacang yang buruk menggunakan air dalam bekas air, yang terapung adalah yang buruk dan yang baik berada di dasar bekas air tersebut. Dikira dari segi jarak, yang baik berjarak pendek dan yang buruk berjarak jauh sedikit dari dasar bekas air.

Konsep penyusunan data dapat dibuat melalui konsep fungsi dalaman (depth function), konsep jarak euklidan tak-klasik (non-classical euclidean distance concept) dan konsep jarak tak-euklidan (non-euclidean distance concept). Mengenai kajian dalam penggunaan fungsi dalaman bagi membuat penyusunan data, beliau telah menyenaraikan kajian-kajian berikut: Mahalanobis depth 1936, half-space depth proposed by Hodges in 1955, convex hull peeling depth of Barnett (1976), Oja depth of Oja (1983), simplicial depth of Liu (1990), majority depth of Singh in 1991, regression depth of Rousseeuw and Hubert (1999), tangent depth of Mizera (2002), projection depth of Zuo (2003), spherical depth and elliptical depth of Elmore (2005).

Mengenai kajian dalam penggunaan konsep jarak euklidan tak-klasik (non-classical euclidean distance concept) bagi membuat penyusunan data, beliau telah menyenaraikan kajian-kajian berikut: Robust MSD: MVE and MCD (Rousseeuw 1985), Lopuhaa and Rousseeuw (1991), Hadi (1992), Hawkins (1994), Hawkins and Olive (1999), Croux and Haesbroeck (1999), FMCD (Rousseeuw and van Driessen 1999), BACON (Billor et al. 2000), Werner (2003), Hardin and Rocke (2004), Improved FMCD (Hubert et al. 2005), MVV (Djauhari et al. 2008).

Mengenai kajian dalam penggunaan konsep jarak tak-euklidan (non-euclidean distance concept) bagi membuat penyusunan data, beliau telah menyenaraikan kajian-kajian berikut:Wilks (1963), Rohlf (1975), Derquenne (1992), Pan et al. (2000), Pena and Prieto (2001).

Nama Prof Maman tercatit sebagai pengkaji utama dalam penggunaan konsep jarak euklidan tak-klasik (non-classical euclidean distance concept) bagi membuat penyusunan data seperti tercaitit dalam MVV (Djauhari et al. 2008).

Beliau akhirnya memberikan empat tafsiran secara statistik bagi ayat 37 Surah Al-Anfal tersebut yang dinyatakan dalam bentuk formula matematik yang tidak dapat saya muatkan dalam ruang blog ini. Kepada sesiapa yang berminat dapat menghubungi terus Prof Maman di emel maman@utm.my atau membuat « search » di Google Scholar dengan menaip « Maman Djauhari » dan boleh memuat turun artikel beliau dari jurnal-jurnal yang ada. Khusus bagi staf USIM boleh mendapatkannya dari saya (isbah@usim.edu.my) kerana Prof Maman memberi izin kepada saya untuk sebaran di USIM sahaja.

Pada akhir sesi beliau menyatakan sedang mengadakan kajian mendalam mengenai « teaching and learning » berdasarkan Al-Qur’an dan akan membentangkan kertas tersebut pada kesempatan Wacana yang akan datang. Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui.

Ismail Abdullah, USIM, 15 Ogos 2012.