Wednesday 6 July 2011

Perhimpunan Saintis Muda Malaysia


Pada 4 hingga 6 Julai 2011 telah berlangsung Perhimpunan Sainitis Muda Malaysia buat kali pertama dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Akademi Sains Malaysia (ASM), dan Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM). Perhimpunan ini bertemakan: “Saintis muda Malaysia ke arah pembangunan lestari” (Malaysia young scientist towards sustainable development).

Perhimpunan ini bertujuan menghimpunkan saintis muda Malaysia peringkat siswazah agar mereka dapat membina jaringan kerjasama dan saling bekerjasama dalam memajukan Malaysia menuju kemajuan pada masa hadapan.

Seramai 130 orang pelajar siswazah dari Institusi Pendidikan Tinggi Awam di Malaysia telah hadir dalam program ini dengan pecahan seperti berikut, USIM (23), IIUM (15), UKM (15), UTeM (11), UPM (11), UNISZA (10), UNIMAP (10), UPNM (10), UMP (8), UTM (8), UMT (5), UMS (3), USM (1). Pelajar wanita seramai 76 orang dan pelajar lelaki seramai 54 orang.

Pelajar-pelajar ini datang daripada berbagai jurusan dengan pecahan seperti berikut, Kejuruteraan (34 orang), Sains dan Teknologi (27), Farmasi (19), Sains Komputer (16), Teknologi Makanan (14), Pertanian (8), Perubatan (7), Sains Aktuari (4) dan Bahasa Inggeris (1). Merekalah menjadi harapan kita pada masa hadapan untuk membangun masyarakat bermaklumat dan membuat perubahan yang luas dan mendalam dalam ilmu masing-masing.

Pelajar-pelajar yang terpilih ini telah diberi tujahan ilmu oleh Prof. Dato’ Dr. Sheikh Omar Abdul Rahman dengan tajuk “Prospects of Scientist Profession (prospek kerjaya saintis)”, Prof Dr Mohd Basyarudin Abdul Rahman dengan tajuk “How to explore your self-potential (Bagaimana mengenali potensi diri)”. Turut menyampaikan ilmu melalui kepakaran masing-masing ialah Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor (Perhutanan), Professor Emeritus Dato’ Dr Muhammad Yahaya (Fizik), Professor Dato’ Dr Roslan Abd Shukor (Fizik), Professor Dato’ Dr Ibrahim Komo (Geologi), Professor Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman (Komputer), Professor Dr Halimaton Hamdan (Kimia). Program berkenalan, lawatan ke Putrajaya, aktiviti pertandingan turut diadakan bagi mengeratkan hubungan pelajar-pelajar dari berbagai bangsa supaya mereka dapat bekerjasama bagi mewujudkan sebuah Negara Malaysia yang aman dan bersatu padu, maju dalam pelbagai bidang.

Perhimpunan yang dijalankan selama tiga ini sungguh bermakna dalam memupuk Negara bangsa yang sama-sama kita idamkan. Pada generasi muda kita menaruhkan harapan yang tinggi bagi mengekalkan keharmonian Negara Malaysia.

No comments: