Thursday 14 July 2011

Pengkomputeran Grid dan Pengkomputeran Awan (Cloud)


Pada 14 Julai 2011 bertempat di Pusat Teknologi Maklumat telah diadakan Seminar Setengah Hari Pengkomputeran Grid (Grid Computing) dan Pengkomputeran Awan (Cloud Computing). Dr Hong Ong dari MIMOS telah berkongsi ilmu dengan peserta. Juga berkongsi pengalaman ialah Sdr Farhan dari UPM.

Apakah sebenarnya pengkomputeran grid? Secara mudah pengkomputeran grid ialah pengkomputeran yang berkongsi kuasa pemprosesan dari komputer di pelbagai institusi yang mempunyai kelebihan sumber yang biasanya tidak digunakan sepenuhnya di tempat sendiri.

Biasanya aturcara yang besar dan kompleks memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi seperti ramalan cuaca, reactor nuklir, simulasi ekonomi Negara dan sebagainya yang memerlukan kuasa pemprosesan yang besar, kadang-kadang sehingga 100,000 pemproses (processors) dan dilakukan secara selari (parallel).

Secara lebih tepat pengkomputeran grid ialah kombinasi infrastruktur perkakasan dan perisian komputer yang digabung bagi memudahkan pelaksanaan tugas pengkomputeran tingkat tinggi (high-end computing).

Ian Foster dan Carl Keselman telah mencipta “Global Toolkit” bagi memudahkan pengkomputeran grid yang bersifat sumber piawai yang koordinasikan, sumber terbuka (open source), protocol kegunaan umum, memberikan perkhidmatan yang non-trivial dan mempunyai “middleware” untuk koordinasi.

Komponen utama dari pengkomputeran grid ialah organisasi maya (virtual organization(VO)) yang menjadi titik masuk pengguna pengkomputeran grid. Siapa yang ingin mengguna kemudahan pengkomputeran grid mestilah menjadi ahli organisasi maya terlebih dahulu.

Mulai tahun 2005 hingga tahun 2007, pengkomputeran awan (cloud computing) mula diminati oleh pengguna, kumpulan yang terkenal ialah “Nebula Cloud Computing”. Melalui pengkomputeran awan pengguna tidak perlu lagi membeli perisian yang mahal-mahal, ianya terdapat di internet dan bayaran terhadap penggunaannya dikira berdasarkan masa atau tahap penggunaan perisian tersebut.

Secara jelasnya, pengkomputeran awan merupakan jenis pengkomputeran yang berasaskan utiliti (penggunaan), sesiapa yang memerlukan sesuatu perisian tertentu akan hanya menyatakan keperluannya melalui organisasi maya masing-masing yang kemudiannya akan menghubungi pemilik perisian tersebut untuk memberikan masa penggunaan dengan kadar bayaran tertentu. Pihak pengguna tidak lagi perlu menguruskan lesen perisian, dan lain-lain yang berkaitan dengan perisian tersebut. Apa yang mereka perlu ialah menggunakan perisian tertentu dan ianya ada di awan (cloud).

Bagi memudahkan pelaksanaan pengkomputeran awan, berbagai model diutarakan seperti model persendirian, komuniti, awam dan juga hybrid.

Pihak MIMOS mempunyai “P-Grade Portal Workflow Job Submission” sebagai kemudahan bagi sesiapa yang memerlukan perkhidmatan pengkomputeran. Pada dasarnya mereka menyediakan pentas untuk ahli sains pengkomputeran (computational scientists), bukan kepada ahli sains computer (computer scientist), kerana ahli sains computer boleh mengadakan sendiri kemudahan pengkomputeran melalui kepakaran mereka sendiri.

Kepada yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengkomputeran grid dan juga pengkomputeran awan, boleh ke laman web, http://www.hongong.org/.
Semoga kita menjadi masyarakat yang celik teknologi maklumat dan menjadi masyarakat yang berpengetahuan.

No comments: