Wednesday, 15 August 2012

Beberapa Pentafsiran yang Mungkin bagi Ayat 37 Surah Al-Anfal

Prof Dr Maman Djauhari Abdul Rahman memang seorang profesor yang tidak asing di kalangan ahli statistik dunia. Secara ringkas kami sering memanggil beliau dengan nama Prof Maman saja. Profesor kelahiran Garut, Jawa Barat ini memperolehi Sarjana Matematik pada tahun 1974 dari Institut Teknologi Bandung (ITB), mendapat PhD dalam Statistik dari Montpellier Universiti II, Perancis pada tahun 1979. Beliau mendapat gelaran professor pada tahun 1999 dari ITB, pernah berkhidmat sebagai professor di Institut Kejuruteraan Matematik (IMK) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada tahun 2008 dan kini bertugas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai professor untuk tahun 2009 hingga kini. Hingga kini beliau telah menerbitkan lebih daripada 60 artikel jurnal dalam jurnal antarabangsa.

Pada 15 Ogos 2012, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjemput beliau memberikan ceramah bertajuk di atas dalam Program Wacana Fakulti. Tajuk di atas beliau tulis dalam Bahasa Inggeris bertajuk “Some Possible Mathematical Interpretations of Surah Al-Anfal Verse 37”. Ramai yang berkesempatan menghadirinya dan sangat tertarik dengan gagasan Prof Maman. Beliau mengambil panduan daripada Al-Qur’an yang beliau nyatakan sebagai rujukan yang tidak mungkin salah dan tidak mungkin berubah. Rujukan kepada buku teks ada kemungkinan besar salah dan tidak terkini.

Supaya Allah memisahkan yang buruk dari yang baik dan menjadikan yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu kesemuanya itu ditumpukkan-Nya dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka jahannam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Anfal, 37).

Pokok utama yang menjadi kajian beliau dari ayat di atas ialah ”... Allah memisahkan yang buruk dari yang baik...”. Konsep memisahkan yang buruk dari yang baik merupakan suatu konsep yang sangat penting dalam pengumpulan dan penganalisaan data. Di sini kita dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk secara jelas. Ayat di atas hanya memberikan suatu pernyataan umum dan terserahlah kepada kita untuk mengkaji lebih lanjut mengenai cara memisahkan yang baik dari yang buruk.

Beliau memberikan contoh orang tua-tua kita memisahkan beras dengan antah menggunakan nyiru dengan mengaplikasikan konsep daya sentrifugal sehingga proses ayakkan itu akan menghimpunkan antah ke tengah nyiru dan mudah untuk dibuang. Juga menggunakan air dalam bekas air untuk memisahkan kacang yang baik dengan kacang yang buruk, kacang baik akan tenggelam dan kacang buruk akan terapung dan kacang buruk boleh dibuang. Macam-macam lagi cara memisahkan (separate) yang baik dari yang buruk.

Oleh kerana beliau seorang ahli matematik, maka apa yang beliau kaji ialah berkaitan matematik, tetapi ilmu-ilmu lain pun boleh digali dari Al-Qur’an. Beliau memberikan beberapa alasan yang kuat kenapa matematik sangat penting dalam kehidupan kerana kata beliau matematik ialah suatu bahasa yang sangat efektif dan efisien dalam berkomunikasi dengan alam. Galileo, seorang pemikir sains menyatakan bahwa alam jagat raya ditulis dalam bahasa matematik. Libnitz, seorang ahli matematik hebat mengatakan bahwa terdapat tiga perkara penting dalam matematik iaitu masalah (problem), teorem dan aplikasi. Libnitz juga mengatakan bahwa teorem juga membezakan antara ahli matematik dengan bukan ahli matematik.

Prof Maman juga mempunyai moto peribadi iaitu ”inspiring creative and innovative mind” yang akan saya kupas dalam blog lain terutama dalam blog mengenai TRIZ suatu inovasi sistematik dan penyelesaian masalah. Sudah sampai masanya ummat Islam menyedarkan diri mereka betapa khazanah yang sangat berharga berada dalam Al-Qur’an yang belum digali terutama perkara-perkara mengenai alam yang ada sekitar kita dan alam yang maha luas. Apabila timbul kesedaran maka kita akan membuat kajian yang mendalam sehingga tamadun Islam yang sudah lama terlepas dari tangan ummat Islam akan kembali semula kepada kita. Usaha ini perlu dilakukan secara bersungguh dan secara berjamaah. Beliau mempunyai sebuah Pesantren di Garut yang menumpukan kepada melahirkan generasi kreatif dan inovatif.

Prof Maman selanjutnya menerangkan bagaimana beliau melakukan proses pemisahan data dengan mengambil iktibar daripada alam sekeliling ialah melalui konsep penyusunan data (data ordering) iaitu kaedah tengah ke luar atau luar ke tengah seperti yang terjadi pada contoh ayakkan beras yang menggunakan teori daya sentrifugal bagi menghimpunkan antah padi ke tengah dan membuang antah itu dengan mudah. Beliau mengemukakan konsep jarak (distance) atau metrik bagi menyatakan cara memisahkan yang baik dari yang buruk seperti contoh memisahkan kacang yang baik daripada sekumpulan kacang yang buruk menggunakan air dalam bekas air, yang terapung adalah yang buruk dan yang baik berada di dasar bekas air tersebut. Dikira dari segi jarak, yang baik berjarak pendek dan yang buruk berjarak jauh sedikit dari dasar bekas air.

Konsep penyusunan data dapat dibuat melalui konsep fungsi dalaman (depth function), konsep jarak euklidan tak-klasik (non-classical euclidean distance concept) dan konsep jarak tak-euklidan (non-euclidean distance concept). Mengenai kajian dalam penggunaan fungsi dalaman bagi membuat penyusunan data, beliau telah menyenaraikan kajian-kajian berikut: Mahalanobis depth 1936, half-space depth proposed by Hodges in 1955, convex hull peeling depth of Barnett (1976), Oja depth of Oja (1983), simplicial depth of Liu (1990), majority depth of Singh in 1991, regression depth of Rousseeuw and Hubert (1999), tangent depth of Mizera (2002), projection depth of Zuo (2003), spherical depth and elliptical depth of Elmore (2005).

Mengenai kajian dalam penggunaan konsep jarak euklidan tak-klasik (non-classical euclidean distance concept) bagi membuat penyusunan data, beliau telah menyenaraikan kajian-kajian berikut: Robust MSD: MVE and MCD (Rousseeuw 1985), Lopuhaa and Rousseeuw (1991), Hadi (1992), Hawkins (1994), Hawkins and Olive (1999), Croux and Haesbroeck (1999), FMCD (Rousseeuw and van Driessen 1999), BACON (Billor et al. 2000), Werner (2003), Hardin and Rocke (2004), Improved FMCD (Hubert et al. 2005), MVV (Djauhari et al. 2008).

Mengenai kajian dalam penggunaan konsep jarak tak-euklidan (non-euclidean distance concept) bagi membuat penyusunan data, beliau telah menyenaraikan kajian-kajian berikut:Wilks (1963), Rohlf (1975), Derquenne (1992), Pan et al. (2000), Pena and Prieto (2001).

Nama Prof Maman tercatit sebagai pengkaji utama dalam penggunaan konsep jarak euklidan tak-klasik (non-classical euclidean distance concept) bagi membuat penyusunan data seperti tercaitit dalam MVV (Djauhari et al. 2008).

Beliau akhirnya memberikan empat tafsiran secara statistik bagi ayat 37 Surah Al-Anfal tersebut yang dinyatakan dalam bentuk formula matematik yang tidak dapat saya muatkan dalam ruang blog ini. Kepada sesiapa yang berminat dapat menghubungi terus Prof Maman di emel maman@utm.my atau membuat « search » di Google Scholar dengan menaip « Maman Djauhari » dan boleh memuat turun artikel beliau dari jurnal-jurnal yang ada. Khusus bagi staf USIM boleh mendapatkannya dari saya (isbah@usim.edu.my) kerana Prof Maman memberi izin kepada saya untuk sebaran di USIM sahaja.

Pada akhir sesi beliau menyatakan sedang mengadakan kajian mendalam mengenai « teaching and learning » berdasarkan Al-Qur’an dan akan membentangkan kertas tersebut pada kesempatan Wacana yang akan datang. Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui.

Ismail Abdullah, USIM, 15 Ogos 2012.


Thursday, 14 July 2011

Pengkomputeran Grid dan Pengkomputeran Awan (Cloud)


Pada 14 Julai 2011 bertempat di Pusat Teknologi Maklumat telah diadakan Seminar Setengah Hari Pengkomputeran Grid (Grid Computing) dan Pengkomputeran Awan (Cloud Computing). Dr Hong Ong dari MIMOS telah berkongsi ilmu dengan peserta. Juga berkongsi pengalaman ialah Sdr Farhan dari UPM.

Apakah sebenarnya pengkomputeran grid? Secara mudah pengkomputeran grid ialah pengkomputeran yang berkongsi kuasa pemprosesan dari komputer di pelbagai institusi yang mempunyai kelebihan sumber yang biasanya tidak digunakan sepenuhnya di tempat sendiri.

Biasanya aturcara yang besar dan kompleks memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi seperti ramalan cuaca, reactor nuklir, simulasi ekonomi Negara dan sebagainya yang memerlukan kuasa pemprosesan yang besar, kadang-kadang sehingga 100,000 pemproses (processors) dan dilakukan secara selari (parallel).

Secara lebih tepat pengkomputeran grid ialah kombinasi infrastruktur perkakasan dan perisian komputer yang digabung bagi memudahkan pelaksanaan tugas pengkomputeran tingkat tinggi (high-end computing).

Ian Foster dan Carl Keselman telah mencipta “Global Toolkit” bagi memudahkan pengkomputeran grid yang bersifat sumber piawai yang koordinasikan, sumber terbuka (open source), protocol kegunaan umum, memberikan perkhidmatan yang non-trivial dan mempunyai “middleware” untuk koordinasi.

Komponen utama dari pengkomputeran grid ialah organisasi maya (virtual organization(VO)) yang menjadi titik masuk pengguna pengkomputeran grid. Siapa yang ingin mengguna kemudahan pengkomputeran grid mestilah menjadi ahli organisasi maya terlebih dahulu.

Mulai tahun 2005 hingga tahun 2007, pengkomputeran awan (cloud computing) mula diminati oleh pengguna, kumpulan yang terkenal ialah “Nebula Cloud Computing”. Melalui pengkomputeran awan pengguna tidak perlu lagi membeli perisian yang mahal-mahal, ianya terdapat di internet dan bayaran terhadap penggunaannya dikira berdasarkan masa atau tahap penggunaan perisian tersebut.

Secara jelasnya, pengkomputeran awan merupakan jenis pengkomputeran yang berasaskan utiliti (penggunaan), sesiapa yang memerlukan sesuatu perisian tertentu akan hanya menyatakan keperluannya melalui organisasi maya masing-masing yang kemudiannya akan menghubungi pemilik perisian tersebut untuk memberikan masa penggunaan dengan kadar bayaran tertentu. Pihak pengguna tidak lagi perlu menguruskan lesen perisian, dan lain-lain yang berkaitan dengan perisian tersebut. Apa yang mereka perlu ialah menggunakan perisian tertentu dan ianya ada di awan (cloud).

Bagi memudahkan pelaksanaan pengkomputeran awan, berbagai model diutarakan seperti model persendirian, komuniti, awam dan juga hybrid.

Pihak MIMOS mempunyai “P-Grade Portal Workflow Job Submission” sebagai kemudahan bagi sesiapa yang memerlukan perkhidmatan pengkomputeran. Pada dasarnya mereka menyediakan pentas untuk ahli sains pengkomputeran (computational scientists), bukan kepada ahli sains computer (computer scientist), kerana ahli sains computer boleh mengadakan sendiri kemudahan pengkomputeran melalui kepakaran mereka sendiri.

Kepada yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengkomputeran grid dan juga pengkomputeran awan, boleh ke laman web, http://www.hongong.org/.
Semoga kita menjadi masyarakat yang celik teknologi maklumat dan menjadi masyarakat yang berpengetahuan.

Wednesday, 6 July 2011

Perhimpunan Saintis Muda Malaysia


Pada 4 hingga 6 Julai 2011 telah berlangsung Perhimpunan Sainitis Muda Malaysia buat kali pertama dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Akademi Sains Malaysia (ASM), dan Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM). Perhimpunan ini bertemakan: “Saintis muda Malaysia ke arah pembangunan lestari” (Malaysia young scientist towards sustainable development).

Perhimpunan ini bertujuan menghimpunkan saintis muda Malaysia peringkat siswazah agar mereka dapat membina jaringan kerjasama dan saling bekerjasama dalam memajukan Malaysia menuju kemajuan pada masa hadapan.

Seramai 130 orang pelajar siswazah dari Institusi Pendidikan Tinggi Awam di Malaysia telah hadir dalam program ini dengan pecahan seperti berikut, USIM (23), IIUM (15), UKM (15), UTeM (11), UPM (11), UNISZA (10), UNIMAP (10), UPNM (10), UMP (8), UTM (8), UMT (5), UMS (3), USM (1). Pelajar wanita seramai 76 orang dan pelajar lelaki seramai 54 orang.

Pelajar-pelajar ini datang daripada berbagai jurusan dengan pecahan seperti berikut, Kejuruteraan (34 orang), Sains dan Teknologi (27), Farmasi (19), Sains Komputer (16), Teknologi Makanan (14), Pertanian (8), Perubatan (7), Sains Aktuari (4) dan Bahasa Inggeris (1). Merekalah menjadi harapan kita pada masa hadapan untuk membangun masyarakat bermaklumat dan membuat perubahan yang luas dan mendalam dalam ilmu masing-masing.

Pelajar-pelajar yang terpilih ini telah diberi tujahan ilmu oleh Prof. Dato’ Dr. Sheikh Omar Abdul Rahman dengan tajuk “Prospects of Scientist Profession (prospek kerjaya saintis)”, Prof Dr Mohd Basyarudin Abdul Rahman dengan tajuk “How to explore your self-potential (Bagaimana mengenali potensi diri)”. Turut menyampaikan ilmu melalui kepakaran masing-masing ialah Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor (Perhutanan), Professor Emeritus Dato’ Dr Muhammad Yahaya (Fizik), Professor Dato’ Dr Roslan Abd Shukor (Fizik), Professor Dato’ Dr Ibrahim Komo (Geologi), Professor Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman (Komputer), Professor Dr Halimaton Hamdan (Kimia). Program berkenalan, lawatan ke Putrajaya, aktiviti pertandingan turut diadakan bagi mengeratkan hubungan pelajar-pelajar dari berbagai bangsa supaya mereka dapat bekerjasama bagi mewujudkan sebuah Negara Malaysia yang aman dan bersatu padu, maju dalam pelbagai bidang.

Perhimpunan yang dijalankan selama tiga ini sungguh bermakna dalam memupuk Negara bangsa yang sama-sama kita idamkan. Pada generasi muda kita menaruhkan harapan yang tinggi bagi mengekalkan keharmonian Negara Malaysia.

Saturday, 2 July 2011

Seminar Etnosains dan Etnomatematik di UPM


Pendahuluan
Apa maknanya Etnosains dan Etnomatematik? Mungkin ini yang sedang bermain di benak fikiran kita. Secara ringkas etnosains merupakan sains yang berasaskan bangsa tertentu, juga etnomatematik bermakna matematik berasaskan kepada bangsa tertentu.
Seminar Sehari Etnosains dan Etnomatematik
Pada 2 Julai 2011, telah berlangsung “Seminar Etnosains dan Etnomatemtik Rumpun Melayu” di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) selama satu hari. Tajuk-tajuk yang dibincang termasuklah:
1) Islamisasi Perubatan Tradisional Melayu dalam Sejarah (PM Dr Nurdeng Durasesh, UPM),
2) Wacana Pengislaman Sains di Malaysia: Respond an Signifikan dalam PemikiranTokoh Pemikir Melayu-Islam (Mahadi Abu Hassan, UTeM),
3) Persamaan Bentuk Perahu dari Lembangan Mekong dengan Perahu-Perahu di Semenanjung Malaysia: Imitasi atau Improvisasi? (PM Dr. Pisol Maidin, UiTM),
4) Sejarah Perkembangan Wacana Pengislaman Sains (Maisarah Hasbullah, UM),
5) Set Kata Ganda Bebas dan Masalah Pentakrifan Set dalam Bahasa (Mohd Yunus Sharum, UPM),
6) Penggabungan Beberapa Kebajikan Dalam Jadual Hayat Untuk Insurans Takaful Keluarga (Prof Dr Ismail Mohd, UMT),
7) Penyelidikan Bandingan Terhadap Manuskrip Faraidh Aceh (Dr Salmawaty, USK, Aceh),
8) Struktur dan Isi dari Sebuah Manuskrip Tabel Faraidh dan Potensi Pemanfaatannya pada Masa Kini (Dr Said Munzir, USK, Aceh),
9) Konsep Ekonomi Manfaat Melayu (Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, UKM),
10) Unsur Matematik Dalam Pantun Melayu (Sharifah Kartini Said Husain, UPM),
11) Dialektologi Memperkaya Etnosains-Matematik Melayu (Mohd Tarmizi Hasrah, UKM).

Tuesday, 27 October 2009

Bengkel Halatuju ICT IPTA

Bengkel Halatuju ICT IPTA diadakan di EDC-UUM, Sintok selama dua hari bermula 28 hingga 29 Oktober 2009. Wakil USIM untuk bengkel ialah empat orang Prof Dr Kamaruzzaman, Dr Kamaruddin, En. Mohd Ilias dan saya. Sementara PM Dr Norita menghadiri Mesyuarat Dekan ICT IPTA yang diadakan serentak dengan Bengkel Halatuju ICT IPTA. Semoga bengkel ini akan membawa manfaat dalam program-program ICT di Institusi Pendidikan Tinggi Awam Malaysia.
Pendidikan ICT secara am dan khususnya bidang Sains Komputer memerlukan input baru untuk memajukkannya lagi bagi menghadapi tema bajet 2009 iaitu kreativiti dan innovasi.

Thursday, 21 May 2009

Perisian Antivirus USIM dapat Anugrah Perak


Perisian Antivirus yang dinamakan "Software Agent for Registry Repair and Maintainance" yang direkacipta oleh pelajar Mohd Aizat Zulkifli telah memenangi pingat Perak di "National Research Innovation Competition (NRIC)" yang diadakan di USM, Penang pada 14 - 18 May 09.
Mohd Aizat Zulkifli merupakan seorang pelajar yang berpotensi besar yang dihasilkan di bawah Program "Information Security and Assurance (ISA)", Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai. Beliau merupakan salah seorang pelajar dalam kumpulan kedua yang terdiri dari 14 orang pelajar. Kumpulan pertama pelajar ISA seramai 20 orang akan bergraduat Ogos 2009 ini.
Harapan saya sebagai pensyarah mereka dan kawan-kawan lain yang mengajar mereka juga sangat berharap kehadiran mereka dalam komuniti ICT akan memberikan impak positif terhadap perkembangan ICT di Malaysia.

Saturday, 16 May 2009

NRIC - Pentas Penyelidikan Pelajar


Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan "National Research and Innovation Competition (NRIC)" bermula 15 hingga 18 Mei 2009 dengan sokongan Syarikat Motorola. Sebanyak 18 buah IPTA dan IPTS mengambil bahagian dengan 159 projek dipertandingkan yang terdiri dari Tesis Tahun Akhir pelajar Ijazah.

Dalam kesempatan ini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mempertandingkan 10 projek, salah satu daripada projek itu ialah dari "Information Security and Assurance Program (ISA)", Fakulti Sains dan Teknologi, USIM yang bertajuk, "Software Agent for Registry Repair and Maintainance" atau lebih dikenali sebagai "Spyjak Antivirus Softawre" yang diusahakan oleh Mohd Aizat Zulkifli, pelajar Program ISA, FST, USIM.

Sofwer Mohd Aizat ini lain sedikit daripada Antivirus biasa kerana karyanya boleh membetulkan "registry" yang dikacau bilau oleh serangan Virus dan kemudian memburu virus yang menyerang untuk mematikannya. Semoga usaha Mohd Aizat boleh dilanjutkan lagi oleh beliau sendiri dan juga oleh kawan-kawan beliau yang lain.

Harap saya sebagai pensyarah beliau, agar USIM akan terus menyemarakkan penyelidikan secara umumnya dan secara khususnya dalam produk Islam agar syiar Islam akan terus hidup sampai ke hari kiamat.

Semoga Tamadun Islam yang suatu masa dulu memberi cahaya ilmu kepada alam akan kembali menyinarkan cahayanya semula di zaman seterusnya.